PAS Cawangan Sungai Rambai,Parlimen Jasin,Melaka

As-Salam

Lagu Rasmi PAS

Zikir Oleh Nik Aziz

Showing posts with label Ilmiah. Show all posts
Showing posts with label Ilmiah. Show all posts

Monday, July 20, 2009

Tragedi pemikiran Melayu

PARTI ISLAM SEMALAYSIA Pictures, Images and Photos

Tragedi pemikiran Melayu

Oleh: PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ
KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.

Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.

Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.

Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.

Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.

Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.

Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.

Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

* PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.
Continue Reading...

Sunday, July 12, 2009

Rasuah???

PARTI ISLAM SEMALAYSIA Pictures, Images and Photos

Apakah Itu Rasuah?

Definisi rasuah (bahasa Latin: corruptio daripada kata kerja corrumpere = busuk, rosak, menggoyahkan, memutar balik, menyogok) menurut Transparency International ialah perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah/menurut undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya (keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka.

Dari sudut undang-undang, perbuatan rasuah mencakupi:

melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.
penyalahgunaan harta negara.
merugikan negara
memperkaya diri sendiri dan kerabat.
Dalam skop yang luas, rasuah "politik" bermaksud penyalahgunaan jawatan awam untuk kepentingan peribadi. Semua bentuk pemerintahan dan organisasi pasti terdapat perilaku rasuah, sama ada sedar atau tidak. Cuma berat (kes) berbeza-beza: daripada yang paling ringan dalam bentuk penggunaan pengaruh dan sokongan untuk memberi dan menerima pertolongan, hingga kepada rasuah yang sudah dianggap satu "prosedur rasmi", dan sebagainya. Kemuncak segala rasuah ialah satu keadaan yang digelar kleptokrasi, yang erti harfiahnya pemerintahan oleh para pencuri; iaitu berpura-pura bertindak jujur pun tidak ada sama sekali!

Rasuah yang wujud dalam bidang politik dan pentadbiran/birokrasi mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat, terancang atau tidak. Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan. Kesannya lebih meluas lagi. Untuk memahami masalah ini dan mencari rumusannya, sangat penting untuk membezakan antara rasuah dengan perilaku jenayah (dalam erti kata yang lebih luas)

Sama ada sesuatu hal/perilaku dianggap rasuah atau tidak bergantung pada praktik undang-undang di negara/wilayah berkenaan. Contohnya, pendanaan parti politik untuk pilihan raya dianggap satu bentuk rasuah di negara/wilayah tertentu tapi dianggap legal di tempat tertentu lain

Keadaan Yang Mencetuskan Rasuah
Pemusatan kuasa, terutamanya dalam kalangan para pembuat dasar/pembuat keputusan, yang tidak berhubungan langsung dengan rakyat, seperti yang sering terjadi di wilayah-wilayah yang dianggap tidak demokratik.
Kurangnya ketelusan dalam urusan pentadbiran kerajaan.
Kempen-kempen politik yang mahal, yang kadang kala melepasi had yang dibenarkan undang-undang
Projek mega yang melibatkan penggunaan wang pembayar cukai yang besar.
Sikap individu tertentu dan jaringan "teman lama".
Lemahnya pemahaman tentang undang-undang apatah lagi untuk melaksanakannya.
Kelemahan sistem pelaksana dan sistem kehakiman.
Kebebasan bersuara atau kebebasan media disekat.
Gaji penjawat awam yang kecil.
Rakyat yang tidak kritikal: mudah dibohongi, kagum dan seterusnya kogam dengan politiking, seterusnya "malu" melaporkan kecurangan yang berlaku.
Waktu-waktu pemilihan parti atau pilihan raya: politik wang sukar dikesan dan dibanteras.

Impak Negatif

Demokrasi
Rasuah ialah musuh pembangunan. Dalam dunia politik, rasuah menjejaskan perjalanan demokrasi dan pentadbiran yang cekap apabila formaliti diabaikan. Rasuah dalam pilihan raya atau pemilihan umum lain dan dalam badan perundangan/legislatif merosakkan akauntibiliti dan kecekapan juga; rasuah dalam sistem pengadilan pula mencabul ketertinggian undang-undang; dan rasuah dalam pentadbiran awam menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial. Secara umum, rasuah mengikis kemampuan sesuatu sistem; kerana ketidaktertiban prosedur, kemerosotan sumber daya/usaha, dan pejabat diiktiraf/dinaikkan oleh jabatan bukan kerana prestasi. Keseluruhannya, rasuah menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem-sistem yang ada.

Ekonomi

Rasuah merosakkan keadilan sosial dan kesaksamaan ekonomi.Rasuah mempersulit kemajuan ekonomi apabila kecekapan menurun selain mengubahsuaikan sistem yang selama ini diterima pakai dan efektif. Dalam sektor swasta, perbelanjaan akan meningkat kerana wujudnya perbelanjaan "di luar akaun", belanja perundingan dengan pejabat/jabatan yang korup (duit kopi?), dan serta risiko pembatalan projek/konsesi. Walaupun ada yang menyatakan bahawa rasuah mengurangkan kos kerana birokrasi berjaya "dicairkan", penyelidikan terbaru mendapati hal demikian tidak berlaku, sebaliknya lebih tinggi lagi kosnya kerana pejabat/jabatan korup tersebut akan membuat lebih banyak peraturan dan hambatan yang baru. Rasuah juga menjejaskan persaingan dalam perniagaan dan pasaran seluruhnya apabila syarikat tertentu yang mempunyai "hubungan" dilindungi daripada persaingan, lantas melahirkan syarikat/industri yang tidak berdaya maju.

Rasuah menimbulkan kekacauan dalam sektor awam apabila perbelanjaan awam untuk projek-projek kemasyarakatan yang sememangnya banyak, naik mendadak kosnya, sehingga melepasi peruntukan awal. Pejabat/jabatan awam (mungkin juga kontraktor) mungkin "mengubahsuai" projek tersebut (selepas menerima peruntukan daripada peringkat kerajaan yang lebih tinggi, misalnya), walaupun sebenarnya tidak diperlukan, sebagai usaha menyorokkan rasuah yang berlaku. Kemudiannya, keselamatan, keselesaan, dan kesan alam sekitar projek tersebut menjadi pertaruhan . Rasuah juga menjejaskan kualiti perkhidmatan sektor awam dan infrastruktur yang dirancangkannya, sekali gus mengenakan tekanan yang hebat kepada belanjawan/bajet kerajaan.

Para pakar ekonomi berpendapat, antara punca ekonomi beberapa buah negara Asia dan Afrika berkembang lemah, terutama di Afrika, ialah rasuah yang berbentuk "penagihan sewa" yang menyebabkan perpindahan penanaman modal ke luar negara, bukannya dilaburkan di dalam negara (yang sering kali disebut orang betapa ramai diktator Afrika mempunyai akaun bank di Swiss). Berbeza pula dengan diktator di Asia, seperti Suharto yang sering meminta sogokan (daripada setiap biaya atau keuntungan projek), namun lebih memberikan perhatian dalam pelaburan dalaman, seperti dalam projek prasarana, kewangan, perbankan, dan lain-lain (yang bermanfaat kepada rakyat jelata Indonesia). Pakar daripada Universiti Massachussetts memperkirakan, dari tahun 1970 hingga 1996, "perlarian" modal 30 buah negara Sub-Sahara berjumlah sekitar US $187 bilion (RM710.6 bilion); melebihi jumlah hutang luar negara-negara tersebut! (Hasilnya, Mancur Olson mengutarakan model ekonomi tentang pembantutan pembangunan). Dalam kes Afrika lagi, antara punca lain termasuklah ketidakstabilan politik; dan kerap kali kerajaan baru yang berjaya menggulingkan pemerintah lama, merampas segala harta kerajaan terdahulu yang diperoleh daripada rasuah. Mereka kemudiannya akan melakukan perkara yang sama, tanpa henti, dan menyimpan hasilnya di seberang laut untuk persiapan "masa-masa sukar"

Kesejahteraan Negara
"Rasuah politik" berlaku di banyak negara dan mengancam jutaan manusia. Rasuah politik bererti "kebijaksanaan" pemerintah/kerajaan memberikan pelbagai faedah istimewa kepada penyogok, jauh sekali demi kesejahteraan rakyat terbanyak. Dari satu sudut yang lain, para politikus memainkan peranan melindungi syarikat/perusahaan tertentu (lazimnya entiti yang besar), yang sebenarnya cuba menguburkan perusahaan yang lebih kecil yang baru bertatih. Mereka memang pintar: melindungi syarikat yang telah menaja kempen-kempen politiknya sahaja.

Bentuk-Bentuk Salah Guna Kuasa
Rasuah dalam pentadbiran awam meliputi penggelapan wang dan nepotisme, selain salah guna kuasa yang menghubungkan sektor swasta dan sektor awam seperti penyogokan, pemerasan, campur tangan, dan penipuan.

Elemen Rasuah: Penyogok dan Penerima Sogokan
Rasuah memerlukan dua pihak yang korup: pemberi sogokan (penyogok) dan penerima sogokan. Di beberapa buah negara, rasuah sudah menjadi suatu budaya.

Laporan Transparency International 2001
Dua belas buah negara yang paling kurang kes rasuahnya, menurut tinjauan dan penyelidikan oleh Transparency International pada tahun 2001 adalah seperti berikut (disusun mengikut abjad):

Australia, Kanada, Denmark, Finland, Ireland, Luxembourgh, Belanda, New Zealand, Norway, Singapura, Sweden, dan Switzland.
Tiga belas negara yang paling korup pula ialah... (disusun mengikut abjad):

Azerbaijan, Bangladesh, Bolivia, Cameroon, Indonesia, Kenya, Nigeria, Pakistan, Filipina, Rusia, Tanzania, Uganda, dan Ukraine.
Tinjauan dan penyelidikan tersebut masih dipertikaikan kerana dianggap terlalu subjektif.


"Sumbangan", "Hadiah", "Pemberian" = Politik Wang?
Dalam arena politik, memang sukar dikesan wujudnya ciri-ciri rasuah, yang lebih popular disebut "politik wang", tetapi lebih sukar membuktikan ketidakwujudannya. Maka, gosip dalam kalangan politikus kadang kala lebih dahsyat daripada gosip dunia hiburan.

Kempen meraih kuasa politik (atau meraih undi) sebenarnya memakan belanja besar, dan memang "sedih" jika seseorang politikus tidak cukup biayanya untuk menampung, atau setepatnya, menjamin masa depan politiknya. Lantaran itu, mereka "meminta-minta daripada yang sudi". Mungkin kerana kurang cekap "menutup lubang", mudah sahaja orang lain terutama musuh politiknya, terhidu betapa telah berlakunya penyelewengan, apabila politikus sedemikian dilihat memberi perlindungan, keistimewaan, dan keutamaan yang luar biasa kepada pihak (mungkin juga warna bisnes) yang telah melabur dalam perusahaan politiknya.

Tuduhan Rasuah Sebagai Senjata Politik
Kejadian ahli politik mencoreng arang pada muka pesaing politiknya dengan tuduhan rasuah sudah banyak berlaku. Di China, taktik ini digunakan oleh Zhu Rongji, dan yang terkini, oleh Hu Jintao untuk melemahkan (atau juga "membunuh") musuh politik mereka.

Mengukur Rasuah
Mengukur (kadar) rasuah - secara statistik, untuk membandingkan beberapa buah negara, sebenarnya tidak memberikan hasil yang boleh diikuti sepenuhnya. Transparency International, salah satu badan terkemuka dalam kajian dan kegiatan antirasuah, telah menyediakan tiga penanda aras, yang diterbitkan setiap tahun: Indeks Persepsi Rasuah (berdasarkan pendapat para ahli tentang kekorupan negara-negara dunia); Barometer Rasuah Global (berdasarkan tinjauan pandangan rakyat tentang persepsi dan pengalaman mereka berdepan dengan gejala rasuah); dan Tinjauan Pemberi Sogok, yang melihat sejauh mana syarikat-syarikat antarabangsa/multinasional bersedia memberi sogok di negara-negara yang menjadi tempat operasi mereka. Transparency International juga menerbitkan Laporan Rasuah Global; edisi tahun 2004 yang memfokuskan rasuah dalam lapangan politik.

Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Korupsi_atau_Rasuah"
Continue Reading...

Iklan Dari Harakah

 

N28 Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template