PAS Cawangan Sungai Rambai,Parlimen Jasin,Melaka

As-Salam

Lagu Rasmi PAS

Monday, December 7, 2009

Penyeludupan dadah, Siti Zailah tidak puas hati jawapan timbalan menteri

Penyeludupan dadah, Siti Zailah tidak puas hati jawapan timbalan menteri

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan langkah yang diambil oleh kementerian berkenaan dalam menangani masalah pembekalan dadah di sempadan Thailand.


Siti Zailah sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, kebanyakan pembekal dadah di kawasan itu dapat bolos ke Malaysia.

Beliau meminta pihak kementerian menyatakan jumlah tangkapan yang dilakukan terhadap pembekal dadah di sempadan dan tindakan yang diambil terhadap pembekal yang menggunakan wanita dan kanak-kanak untuk tujuan pengedaran.

Sebelum itu, Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) meminta menteri dalam negeri menyatakan jumlah rampasan dadah dari Januari hingga Jun 2009 dan pelan tindakan pencegahan penyalahgunaan dadah yang diambil oleh kementerian serta jumlah peruntukan yang disediakan.

Timbalan menteri, Datuk Wira Abu Seman (BN-Masjid Tanah) dalam jawapannya memberitahu secara keseluruhannya dalam tempoh Januari sehingga Jun 2009, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas 22 jenis dadah dan racun di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Rampasan terbesar melibatkan dadah jenis syabu seberat 1,052 kg bernilai lebih RM263 juta. Secara keseluruhannya, nilai rampasan dalam tempoh tersebut berjumlah lebih RM306 juta.

Berhubung dengan jumlah peruntukan yang disediakan bagi melaksanakan pelan tindakan pencegahan dadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah memperuntukkan sebanyak RM93 juta bagi tahun 2009.

Siti Zailah yang ditemui selepas itu bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan Abu Seman kepada soalannya yang dianggap sambil lewa dan tidak menjawab soalan sebenar.

"Saya tak puas hati dengan jawapan timbalan menteri tadi. Saya tanya berapa kes yang ditangkap, tapi beliau tidak jawab," katanya.

Beliau yang juga timbalan ketua Muslimat PAS berkata, menurut maklumat yang diterimanya, ramai pengedar dadah di sempadan ditangkap oleh PDRM dan boleh didakwa di bawah seksyen 398 namun dibebaskan atas alasan tidak cukup bukti.

Sedangkan sumber memberitahu, ketika serbuan dibuat ke rumah pengedar, terdapat banyak dadah dan wang ditemui.

Difahamkan, pihak berkuasa membebaskan mereka kerana didakwa telah menerima rasuah dalam jumlah yang banyak.

"Apakah ini tidak cukup sebagai bukti? Saya menyeru kerajaan ersikap telus dalam menangani masalah ini. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memaihnkan peranan mereka," tegasnya.

Beliau dalam pada itu turut mempersoal program pemberian percuma methadone di klinik-klinik kerajaan untuk membantu penagih yang dilihat tidak berkesan dan tidak mencapai sasaran.

Ketidakberkesanan ini ujarnya turut diakui sendiri dalam laporan audit negara.

"Program yang dikatakan dilakukan secara tetutup ini, rupa-rupanya diakukan secara terbuka, dan orang boleh tahu siapa yang menerima bantuan methadone itu.Ini sekaligus tidak melindungi identiti penagih," katanya.

Selain itu, pemberian methadone itu tidak membantu penagih untuk berhenti daripada mengambil najis dadah.
Continue Reading...

‘Nyawa’ Umno bergantung kepada wang

‘Nyawa’ Umno bergantung kepada wang

MARANG, 6 Dis: Kekuatan Umno hanya bergantung kepada kebendaan dan wang ringgit untuk meraih sokongan rakyat, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.



Katanya, pemimpin Umno menjadi susah hati sekiranya parti itu tidak mempunyai sumber kewangan.

“(Pemimpin) Umno, nyawa mereka hanya wang. Kalau tidak ada wang, mereka susah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh di Kampung Gong Merawang, dekat sini, petang semalam.

Ini, katanya berbeza dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS yang menjadikan agama yang suci itu sebagai 'nyawa' dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para penerima bantuan supaya tidak menjadikan kebendaan sebagai keutamaan dalam kehidupan sebaliknya berbangga dengan nikmat Islam dan iman.

“Nikmat yang paling besar kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Islam dan iman,” ujarnya.

Justeru, tambahnya walaupun sumbangan yang diterima pada majlis itu tidak seberapa tetapi para penerima hendaklah menyedari bahawa PAS sentiasa prihatin terhadap masyarakat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MTD Ru Rendang mewakili bapanya selaku Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan bantuan itu kepada penerima. (Gambar)

Sebanyak 101 keluarga menerima sumbangan pada majlis pertama kali anjuran PAS Cawangan Kampung Baru Ru Muda itu yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan mangsa banjir.

Menurut ketuanya, Haji Abdul Aziz Ngah, pihaknya sebelum ini sering mengadakan aktiviti kebajikan tahunan seperti penyampaian sumbangan hari raya, bantuan persekolahan dan mangsa yang ditimpa musibah.

Katanya, PAS cawangan menyedari masalah yang dihadapi oleh para penduduk yang terdiri daripada nelayan, penoreh getah dan bekerja sendiri yang tidak dapat melakukan aktiviti harian pada musim tengkujuh.

“Bagi meringankan bebanan hidup mereka, yang sudah tentu menyulitkan mereka mencari rezeki untuk menyara keluarga, maka kami berusaha memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang yang sentiasa memberikan sokongan bagi menjayakan aktiviti kebajikan PAS cawangan kepada masyarakat setempat.
Continue Reading...

Desakan Nik Aziz undur ditolak golongan muda

Desakan Nik Aziz undur ditolak golongan muda

KOTA BHARU, 5 Dis: Penyertaan begitu ramai golongan muda dalam perhimpunan menyokong kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu semalam menunjukkan campurtangan Umno dalam kemelut ini hanya akan meningkatkan lagi populariti Mursyidul Am PAS itu.

Dr Rosli Alaani Abdul Kader yang berucap mewakili pemuda PAS dalam perhimpunan itu berkata pihaknya sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Tuan Guru serta tidak akan berdiam diri sekiranya tokoh ulama itu diganggu gugat.

Menurutnya, tidak ada sebab kenapa Tuan Guru meletakkan jawatannya kerana kepimpinannya masih lagi utuh serta berintegriti.

“Hari ini kita beramai-ramai untuk menyatakan sokongan kita kepada Tuan Guru dan tidak sekali-kali membiarkan ada pihak yang ingin mengganggu gugat kepimpinannya,”ujarnya lagi.

Lim Guan Seng yang mewakili belia kaum Cina berkata, belia Cina tidak pernah berasa susah apa lagi tertekan di bawah kepimpinan Tuan Guru, sebaliknya berasa aman dan selesa.

“Kedatangan kita hari ini tidak dibayar sesen pun bukan sebagaimana pihak yang mendesak Tuan Guru baru ini yang dibayar oleh pihak tertentu.

“Namun kita hari ini datang dengan ikhlas, dengan pendirian yang jitu demi untuk mempertahankan Tuan Guru, integriti Tuan Guru jangan cuba dipersoalkan,”ujarnya lagi.

Wakil pemuda India, Tharuman yang turut berucap dalam bahasa ibundanya juga turut menyatakan pendirian yang sama.

Sambungnya, masyarakat India di Kelantan telah banyak mengalami perubahan khususnya dalam era 20 tahun kebelakangan ini.

Turut berucap di perhimpunan itu Ketua Pemuda PKR Kelantan Wan Mohd Khairul Ihsan.

Apa yang menarik golongan belia pelbagai kaum hadir dengan lilitan "We love Tok Guru" di kepala masing-masing.

Sekumpulan belia Cina mempersembahkan tarian singa untuk menarik perhatian hadirin.

Kemelut berkaitan desakan supaya Menteri Besar Kelantan berundur bertukar menjadi panas apabila sekumpulan penyokong UMNO berdemonstrasi di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri 1 Disember lalu.
Continue Reading...

Thursday, November 12, 2009

Dosa Jual Beli Hari Jumaat.

Dosa Jual Beli Hari Jumaat.

Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.

Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9' dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti di kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.

Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
'Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.'

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun telah ijma'[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]

Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)

Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut 'para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua' ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)




BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang bererti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, bererti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :

Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.

Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:

a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.


Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.

sumber

Continue Reading...

Tuesday, November 10, 2009

Bai'ah Talak

Bai'ah talak: "Tiada dalam kepala saya"-Nik Aziz

KOTA BHARU, 10 Nov: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa isu bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga, segaja ditimbulkan oleh pihak yang dengki kepada PAS.

Dalam satu sidang media di pejabat Menteri Besar Kelantan siang tadi, Nik Aziz memberitahu perkara itu tidak ada dalam pengetahuan beliau dan tidak pernah kedengaran di negeri itu.

“Benda ni tak ada dalam kepala saya, tidak ada bai’ah -bai’ah (talak tiga) ni, tidak ada bunyi khabar pun benda ni di Kelantan,” katanya.

Isu tersebut dakwanya dicetus pihak sekular anti Islam yang berusaha mencari jalan untuk menggugat kedudukan PAS.

PAS yang sedang berkembang menjadi sebuah parti Islam yang diterima semua kaum sudah pasti dicemburui oleh pihak lawan.

Yang ada ujarnya sekadar bai'ah biasa bagi menunjukkan taat setia seperti akujanji yang dilaksanakan terhadap kakitangan awam.

"Mana ada parti ke, kakitangan kerajaan ke yg tak buat bai'ah ni.....mcm aku janji lah, semua ada buat tapi tak sampailah bai'ah taklik," ujarnya lagi.

"Kita kahwin dengan orang pun ada tanda tangan, ijab qabul, qabul tu baih'a lah," katanya.

PAS minggu ini dipalit pula dengan dakwaan melaksanakan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga kepada wakil rakyat mereka sekiranya berhenti dan keluar daripada parti itu.

Selain Nik Aziz, setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini juga menafikan wujudnya bai'ah taklik tersebut dan beliau diberi tanggungjawab untuk menyiasat dakwaan terbaru itu.

Isu ini dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

Kemudianya pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.


Continue Reading...
 

N28 Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template